29 March 2024
[1] [2]

HALAMAN 1
Syair
Syair Sultan Maulana 1812
Oleh : Muhammad Yusoff bin Hashim

Kisah Peperangan antara Kedah dengan Burma kerana membantu Siam
  mengusirkan Burma dari Pulau Salang (Phuket) 1810.
 Sejarah Kedah sebagai latar belakang kepada peperangan ini
 ditulis oleh Ismail bin Saleh untuk Persatuan Sejarah
  Malaysia Cawangan Kedah Darulaman.

Seorang pengarang syair dari Kedah mencatatkan peristiwa peperangan antara Burma dengan Siam yang berlaku dalam tahun 1810 di Pulau Salang atau Phuket. Beliau membuat syairnya dalam tahun 1812. Peristiwa-peristiwa dan nama-nama tokoh yang disebut dalam syair ini semuanya tepat apabila dirujuk kepada bahan-bahan Inggeris dan Siam. Kedah terlibat di dalam peperangan ini kerana diminta oleh Siam untuk membantu mereka. Angkatan Kedah di bawah ketuanya Dato' Laksamana (akhirnya menjadi Bendahara Kedah) berjaya mengusirkan Burma dari Pulau Salang atau Pulau Phuket ketika itu.

Catatan begitu tepat dan betul menakjubkan orang-orang Barat yang menganggap orang-orang Timur selalu mencampur-baurkan fakta dengan fantasi. Pengarang syair dipercayai ialah jurutulis kepada Dato' Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah (1804-1843) dan dikenali sebagai "Syair Sultan Maulana". Sultan Ahmad Tajuddin sendiri adalah seorang pengarang syair yang berkebolehan. Satu dari karya Baginda ialah "Syair Duka Nestapa : dikarangnya semasa dalam buangan di Melaka dan Kedah diperintah oleh Siam (1821-1842)".

Serangan Burma ke atas Pulau Salang atau Phuket berlaku beberapa kali sejak 1785. Raja Bodawphaya berfikir tentang memperolehi buroh kasar dari kawasan ini untuk pembangunan Ava dan menguasai lombong-lombong bijih timah di kawasan ini. Penduduknya di Phuket boleh menyekat bekalan senjata api dari India supaya jangan masuk ke Thailand. Satu sebab lagi yang lebih penting ialah melemahkan cengkaman Siam ke atas negeri-negeri Melayu khususnya ke atas Kedah.

Panglima perang Burma, Atwinwun, menduduki Phuket dalam bulan Januari 1810. Awal-awal lagi beliau menulis sepucuk surat kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah supaya melepaskan belenggu dari Siam dan menghantarkan "Bunga Emas" dan Bunga Perak Kepada Ava (Burma). Pada masa ini orang-orang Burma dikenali oleh orang-orang Kedah sebagai "Awak" - orang Ava.

Sultan Ahmad Tajuddin teringat kepada kata orang-orang tua: "Lari dari mulut harimau masuk ke mulut buaya!". Phuket merupakan kubu penting yang mengawal daerah selatan. Siam tidak akan membiarkan pulau itu jatuh ke tangan Burma selama-lamanya.

Kedah dilindungi "suzerainty" tetapi bukanlah langsung dari Bangkok. Buat beberapa ketika Bangkok menyerahkan pentadbiran Kedah dan negeri-negeri Melayu lain ke tangan Legor (Nakhorn Sri Tammarat). Tetapi Songkhla (Senggora) pun telah mendapat kepercayaan Bangkok untuk mengambil alih tugas-tugas Legor itu. Sultan Ahmad Tajuddin menjadi Sultan kerana disokong oleh Raja Senggora (Gabenor Siam) yang bersahabat baik dengan Sultan Ahmad Tajuddin. Bangkok menganugerahkan darjah "Cau Phaya" kepada Sultan Ahmad Tajuddin sedangkan Raja Legor (Gabenor Siam) dianugerahkan darjah "Phaya" sahaja.

Dalam zaman Sultan Muhammad Jiwa (1710-1718) Pulau Salang menjadi kepunyaan Kedah dan Kedah berkuasa penuh di samudera antara Pulau Phuket dengan Pulau Pinang. Orang Kedah melombong bijih-bijih timah di kawasan ini dan memungut sarang burung dan siput-siput laut dari beratus-ratus pulau di sini.

Walaupun Kedah tidak lagi memerintah Pulau Salang tetapi orang-orang Melayu Kedah yang menduduki beratus-ratus pulau di kawasan ini dan di dataran Ranong, Murgi, Takuapa hingga ke Phuket, Terang dan Terutau, Langkawi Langu, Pangnga dan Setol tidak diganggu oleh Siam dari menjalankan kerja mengumpul hasil-hasil ini. Jika Pulau Salang jatuh ke tangan Burma, bijih timah akan diangkut ke Burma dan mungkin hasil-hasil laut juga akan diambil oleh orang-orang awak.

Gayung bersambut, kata bersahut : Sultan Ahmad Tajuddin menjawab surat Atwinwun menyatakan suka dan gembiranya kerana Burma berjaya menduduki Pulau Salang. Malangnya Kedah tak dapat melakukan apa-apa kerana satu angkatan Siam yang besar berada di sempadan melihat gelagat antara lima ribu dengan enam ribu orang barangkali dapat mengusirkan angkatan Siam dan mungkin Kedah akan dapat menghantar ufti "Bunga Emas dan Bunga Perak" ke Burma pula.

Angkatan Siam yang dimaksudkan oleh Sultan Ahmad Tajuddin ialah angkatan dari Senggora, dari sahabatnya, yang sedang digunakan untuk menekan pemberontakan Petani dalam tahun 1808. Siam meminta Sultan Ahmad Tajuddin menghantar orang-orang Kedah membantu angkatan Siam menekan Petani tetapi Sultan Ahmad Tajuddin telah memberi alasan-alasan yang mengecewakan Siam. Siam mula menaruh syak wasangka terhadap kesetiaan Kedah dan menanti masa menyerang Kedah.

Dalam keadaan ini, Siam membuat ujian meminta bantuan Kedah mengusirkan Burma dari Pulau Salang. Membuktikan kesetiaannya kepada Siam, Sultan Ahmad Tajuddin menghantar Laksamananya ke sana bersama dengan 100 buah perahu dan seribu orang satria. Mereka berjaya mengusirkan Burma dari Pulau Salang itu. Cerita dan kisah peperangan ini dirakamkan dengan lengkapnya oleh "Syair Sultan Maulana".

 
  1 | Selepas >